Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat di Kelantan dikenakan PKPD

62

20 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan selama 14 hari, bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu disebabkan berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di lokaliti itu.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM), menjalankan 243 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 97 kes positif direkodkan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan bermula 21 April sehingga 4 Mei 2021.

“PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan mengekang penularan jangkitan ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD yang dilaksanakan kerajaan di dua lokaliti di Sarawak ketika ini, iaitu di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian serta Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, masing-masing akan ditamatkan pada 20 dan 21 April.

“Di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal dengan kes terakhir direkodkan adalah pada 15 April 2021, iaitu tujuh kes.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, Sarawak pada 20 April 2021, tiga hari lebih awal daripada dijadualkan,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, penamatan PKPD di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Sarawak dilaksanakan selepas KKM mengesahkan berlaku penurunan kes, kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan, manakala kes terakhir dilaporkan adalah pada 16 April 2021, iaitu dua kes.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Sarawak pada 21 April 2021 seperti dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 110 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 108 individu dikompaun, manakala dua direman.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, iaitu 34 kes, disusuli gagal merekod butiran diri dan membuat pendaftaran masuk premis (32) serta tiada penjarakan fizikal (17).

“Rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran merekodkan 1 kesalahan, selain lain-lain (26). – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.