Lelaki, wanita dicekup palsu borang kebenaran rentas negeri

19

20 APRIL : Tindakan seorang lelaki memalsukan borang kebenaran rentas negeri bagi membolehkan rakan wanitanya warga Vietnam membeli tiket bas ekspres untuk pergi ke Pulau Pinang membawa padah apabila mereka ditahan polis semalam.

Helah itu terbongkar apabila ia dapat dihidu penjual tiket di kaunter yang merasakan ada yang tidak kena borang itu lalu merujuk kejadian itu ke Pondok Polis di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian jam 10 malam semalam, seorang lelaki cuba membeli tiket bas ekspres ke Pulau Pinang di TBS.

Menurut beliau, suspek berusia 38 tahun itu membeli tiket itu untuk rakannya, seorang wanita warga Vietnam berumur 41 tahun.

“Bagaimanapun, ketika kedua-dua suspek mengemukakan borang rentas negeri untuk semakan jurujual tiket, kakitangan di kaunter tiket mendapati borang rentas negeri yang dikeluarkan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) agak meragukan.

“Kakitangan itu bertindak pantas telah membawa lelaki tempatan dan perempuan Vietnam itu ke Pondok Polis TBS untuk siasatan lanjut pihak polis.

“Hasil siasatan lanjut mendapati borang rentas negeri yang dimiliki oleh pasangan itu pernah dikeluarkan sebelum ini oleh polis dan telah digunakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein memberitahu semakan polis mendapati suspek telah membuat beberapa pindaan pada borang tersebut untuk melakukan perjalanan merentas negeri dengan bas ekspres.

Beliau berkata, kedua-dua individu itu telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan ke atas mereka berdua telah dibuka untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 22 (d) Akta 342.

“Tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dibenarkan selama sehari ke atas lelaki tempatan itu manakala rakannya perempuan Vietnam dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 23 April ini untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.