Kertas siasatan kes Neelofa diserah kepada TPR kali kedua

57

20 APRIL: Polis menyerahkan semula kertas siasatan membabitkan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) buat kali kedua, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kertas siasatan itu dihantar semula selepas terdapat beberapa penambahan seperti diarahkan TPR, sebelum ini.

Antara penambahan dilakukan ialah cadangan tindakan kompaun dikenakan terhadap Neelofa dan suaminya, keluarga pasangan itu dan penganjur dalam majlis perkahwinan berkenaan.

“Kesalahan melanggar Akta 342 dan peraturan di bawahnya bagi kes selebriti Neelofa adalah satu kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 25 akta yang sama atau dituduh di mahkamah yang mana hukumannya adalah penjara tidak melebihi 7 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Ia seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 24 Akta 342. Namun terpulang kepada TPR untuk memutuskannya setelah meneliti kertas siasatan yang kita serahkan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Bagaimanapun, Mohamad Zainal berkata TPR juga boleh menuduh di mahkamah setelah meneliti keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

Mohamad Zainal sebelum ini mengesahkan telah merekodkan keterangan pasangan selebriti itu berhubung pelanggaran SOP dalam majlis perkahwinan mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas pihak berkuasa mendapati majlis yag berlangsung itu gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Neelofa, 32, dan PU Riz, 26, selamat diijabkabulkan dalam satu majlis perkahwinan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Ia susulan satu gambar tular di media sosial menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.