Kebenaran rentas negeri hanya luaskan radius jangkitan

409

20 APRIL: Sekatan dengan hanya membenarkan rentas negeri dilakukan pada Isnin hingga Khamis oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dianggap tidak akan menurunkan jumlah kes COVID-19 secara ketara.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata penurunan jumlah kes pandemik itu boleh berlaku dengan mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti.

Katanya, pihak berkuasa perlu membendung jangkitan dalam komuniti bagi memastikan kes COVID-19 boleh berkurangan.

YAHYA

“Dalam situasi pertambahan kluster pendidikan seperti kita lihat kini yang berlaku disebabkan jangkitan dalam komuniti, mereka dan kontak rapat mereka ini sudah tentu akan dikuarantin serta dirawat bagi membendung penularan jangkitan.

“Justeru, jika mereka ini bergerak keluar daripada tempat dikuarantin, contoh dibenarkan merentas negeri, maka penularan jangkitan akan menjadi lebih meluas,” katanya ketika dihubung PN BBC Portal, hari ini.

Yahya berkata, secara peribadi beliau menganggap belum tiba masa untuk pihak berkuasa membenarkan rentas negeri, termasuk pada empat hari dikatakan itu kecuali dengan alasan paling kukuh, memandangkan kes harian masih tinggi.

“Pada ketika ini, berlaku pertambahan kes jangkitan dalam komuniti, jadi kebenaran rentas negeri hanya akan meluaskan radius jangkitan.

“Katakan berlaku jangkitan dalam komuniti A dan mereka ini dibenarkan merentas negeri, berkemungkinan kes boleh menular ke komuniti serta negeri lain pula,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengesahkan pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis.

Langkah itu, katanya, sebahagian usaha bagi mengetatkan pergerakan rentas negeri, berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 di negara ini.

Jelasnya, pergerakan rentas negeri juga hanya dibenarkan bagi enam tujuan, iaitu pekerjaan, kecemasan dan kematian (membabitkan ahli keluarga terdekat), perubatan, pendidikan serta pasangan menetap jarak jauh. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.