Ahli KWSP masih terima dividen sehingga umur 100 tahun

455

20 APRIL : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan kenyataan lama mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga umur 75 tahun tidak lagi terpakai.

Justeru itu, KWSP menggesa para ahlinya agar lebih berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial, dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut.

“Ahli juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi atau menguar-uarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badan pengurusan wang persaraan itu mengesahkan perkara tersebut hari ini selepas satu kenyataan mengenai umur maksimum bagi pembayaran dividen tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan platform media sosial yang lain.

Seperti yang diumumkan oleh KWSP pada 3 Nov 2016, berkuat kuasa 1 Jan 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.

Langkah ini diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991, yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan untuk terus memanfaatkan gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan.

KWSP memberitahu, ia akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun.

“Sebarang tuntutan selepas pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Pendaftar Wang Tidak Dituntut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.