Polis tahan penganggur conteng tembok, tukar nama sekolah

53

19 APRIL : Seorang penganggur ditahan polis selepas dipercayai terlibat kegiatan vandalisme dengan menconteng tembok nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai dalam kejadian di Jalan Mak Chili, di Kemaman, Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki yang berusia 39 tahun itu ditahan di kediamannya di Kampung Mak Chili jam 12.30 tengah hari, hari ini.

Menurut beliau, penahanan suspek dibuat kurang daripada 24 jam selepas kejadian itu disedari penyelia tapak projek sekolah baharu berkenaan, kira-kira pukul 8 malam semalam.

“Hasil siasatan awal kegiatan ini dipercayai dilakukan antara jam 5 petang hingga 8 malam pada hari yang sama dengan tembok nama sekolah tersebut dipercayai disembur menggunakan cat.

“Siasatan masih lagi dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, bagaimanapun kita kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang melakukan aktiviti tidak bermoral tersebut sedangkan sekolah itu masih belum beroperasi.

“Kita percaya kegiatan ini dilakukan suspek secara berseorangan dan pihak polis kini sedang menyiasat motif utama perbuatan itu,” katanya kepada media, hari ini.

Dalam pada itu, Hanyan memberitahu lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Terdahulu, tular di media sosial apabila beberapa pengguna laman Facebook memuat naik gambar tembok SMK Permai yang diconteng dan digantikan dengan nama SMK Mak Chili.

SMK Permai merupakan sebuah sekolah baharu yang kini masih dalam pembinaan dan belum diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Difahamkan, sebelum ini turut berlaku perdebatan nama sekolah itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak berpuas hati kerana sekolah berkenaan dinamakan SMK Permai sedangkan ia berada di Jalan Mak Chili, Kemaman.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.