Agong ucap tahniah kejayaan 2 pelajar dalam peperiksaaan ACCA

127

19 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia atas kejayaan mereka menjadi antara 10 teratas dunia, dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang berjaya mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa.

Seri Paduka juga menzahirkan rasa kagum atas kesungguhan dan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pelajar itu dalam menghadapi dugaan dan kekurangan, bagi mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan mereka berdua diharap mampu menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan asnaf mampu berjaya dengan cemerlang pada peringkat global sekiranya diberi peluang,” titah baginda menerusi satu kenyataan menerusi laman Facebook Istana Negara di sini sebentar tadi.

Baginda juga mendoakan agar kedua-dua pelajar berkenaan dilimpahi kejayaan cemerlang yang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Nurul Fatin Nabihah, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting.

Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudiannya dibesarkan oleh bapa tiri yang bekerja sebagai petani, sementara ibunya suri rumah.

Sekalipun hanya mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nurul Fatin Nabihah turut lulus satu lagi kertas peperiksaan yang diambilnya, iaitu Advanced Taxation.

Sementara itu, Siti Naziah yang juga pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance.

Siti Naziah, anak sulung daripada dua beradik, menghadapi dugaan besar pada 2018 apabila kehilangan ayah akibat kanser ketika dia sedang sibuk membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT).

Kedua-dua pelajar di bawah seliaan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) itu antara 92,000 calon dari seluruh dunia yang menduduki peperiksaan, bagi sesi Mac 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.