2 pelajar Malaysia tersenarai 10 teratas peperiksaan ACCA

56

19 APRIL: Dua pelajar Malaysia, Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid, mengharumkan nama negara apabila berjaya menempatkan diri di antara 10 teratas dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu adalah antara 92,000 orang calon dari serata dunia yang menduduki peperiksaan terbabit pada sesi Mac 2021.

Nurul Fatin Nabihah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima tajaan Yayasan Sime Darby berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudian, dibesarkan bapa tirinya yang bekerja sebagai petani, manakala ibunya merupakan suri rumah tangga.

Mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fatin juga lulus dalam satu lagi kertas diambilnya, iaitu Advanced Taxation (ATX).

Siti Naziah pula yang menjadi pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Ketika sibuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan CAT pada 2018, anak sulung daripada dua beradik itu, berdepan cabaran apabila kehilangan ayah akibat kanser.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, kejayaan pelajar daripada B40 dan asnaf itu jelas membuktikan bahawa jika golongan berkenaan diberikan peluang dan bimbingan, mereka mampu berjaya dengan cemerlang di peringkat global.

Katanya, MyPAC dengan kerjasama pelbagai pihak korporat dan badan zakat akan meneruskan usaha murni itu bagi memastikan lebih ramai pelajar kurang berkemampuan memperoleh peluang menjadi akauntan profesional.

“MyPAC menzahirkan penghargaan kepada pihak Kementerian Kewangan atas kepercayaan mereka, sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan menambah bilangan akauntan profesional Bumiputera pada masa hadapan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.