Tidak wajar libat unsur kaum dalam kokurikulum sekolah – PAGE

53

18 APRIL : Melibatkan unsur-unsur bangsa dan kaum dalam pemilihan kategori kokurikulum untuk pelajar adalah satu perbuatan yang tidak wajar dilakukan oleh pihak sekolah apabila kerana ia menyentuh sensitiviti agama.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihak sekolah disaran menggunakan istilah umum dalam penetapan panduan aktiviti sukan sekolah.

“Sebenarnya perkara ini tidak perlu sebut bangsa kerana ia sangat keterlaluan apabila mereka memisahkan pelajar-pelajar ini.

“Tambah lagi dalam surat siaran itu sendiri mereka menulis Melayu, Cina dan India. Jadi saya rasa kenapa tidak tetapkan istilah umum sahaja,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azimah memaklumkan punca pihak sekolah mengumumkan ketetapan tersebut kerana tidak mendapat teguran daripada mana-mana pihak.

“Dalam penulisan, jangan sebut bangsa atau kaum. Kenapa mereka melakukannya, sebab tiada orang tegur.

“Majoriti tidak akan tegur dan mereka membiarkan saja, tetapi minoriti menegur. Sebab itu perkara tersebut menjadi isu,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran menyifatkan tindakan sekolah yang cuba memisahkan pelajar-pelajar berdasarkan kaum dan bangsa itu sebagai satu tindakan rugi.

Menurut beliau, nilai perpaduan adalah penting dan perlu dipupuk kepada pelajar di Malaysia sebagai satu kemahiran insaniah.

“Saya melihat orang Malaysia yang dilatih daripada dulu berkawan tidak mengira bangsa, dan kita pergi ke negara luar sebenarnya kita ada satu kelebihan. Kita ada kemahiran yang dipanggil sebagai perpaduan.

“Dari segi itu, bangsa Malaysia sudah berada di hadapan sebab kita telah biasa hidup dengan komuniti pelbagai kaum,” katanya.

Hasnah mencadangkan agar para guru di negara ini perlu berfikiran terbuka dan sedar kekurangan nilai perpaduan akan menyebabkan masa depan anak-anak muda hancur.

“Muhibah sesama kaum adalah sesuatu usaha yang dipupuk sejak dari merdeka lagi. Apabila terjalinnya muhibah, semangat bangsa Malaysia menjadi lebih kuat.

“Bayangkan nanti anak-anak tidak biasa bekerja dengan orang Cina atau India. Nanti apabila mereka masuk dalam bidang pekerjaan, ia akan menjadi kelemahan untuk mereka,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.