Semua sekolah di kawasan PKP Kelantan diarah tutup

50

18 APR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengarahkan semua sekolah di tujuh daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan ditutup mulai hari ini sehingga 24 April.

Keputusan itu diambil selepas mengadakan mesyuarat petang semalam susulan peningkatan ketara kes COVID-19 dilaporkan berlaku di sekolah negeri ini sama ada berpunca daripada guru atau murid.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi, menerusi satu surat pekeliling yang dikeluarkan malam tadi memaklumkan, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama.

Katanya, semua sekolah yang ditutup perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah ( PdPR).

“Hasil mesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Kelantan petang semalam, mencadangkan menutup semua sekolah dibawah KPM di tujuh daerah yang dilaksanakan PKP.

“Sehubungan itu, KPM membuat ketetapan bahawa semua sekolah di tujuh daerah berkenaan ditutup mulai 18 hingga 24 April, namun pelajar asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPN ketika dihubungi memaklumkan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat pemantauan setiap hari kepada murid asrama agar benar-benar sihat dan tidak bergejala.

Katanya, tadika termasuk tadika swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh daerah berkenaan juga ditutup.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.