Sikap hipokrasi Biden kerana teruskan penjualan senjata dikutuk

14

17 APRIL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dikutuk kerana dianggap bersikap hipokrasi dalam keputusannya meneruskan penjualan senjata era bekas pemimpin negara itu, Donald Trump bernilai berbilion dolar ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan penghantaran tentera.

Koordinator Tabung Malaysia-Yaman untuk Bantuan Kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata sikap ditunjukkan Biden itu, sekali gus dilihat mengetepikan dan tidak mengambil peduli penderitaan Yaman yang kini di bawah situasi pengeboman dilakukan pakatan Arab Saudi dan UAE menggunakan senjata dibeli daripada AS.

“Pihak kami terkejut dengan kedudukan keputusan baharu ini, padahal selepas menduduki jawatan Presiden Januari lalu, Biden mengatakan pentadbirannya menghentikan dahulu rancangan penjualan senjata terbabit bagi melakukan penilaian semula.

“Kini Pentagon mengerahkan sekitar 300 pesawat udara AS dan jet tempur F-16 ke Pangkalan Udara Putera Sultan, Arab Saudi sebagai penempatan pasukan ekspedisi, malah ini adalah penghantaran kedua dari South Carolina Air dalam 18 bulan terakhir, selain mendakwa usaha berkenaan akan meningkatkan kemampuan pertahanan terhadap potensi ancaman di wilayah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azmi mendakwa, alasan digunakan Pentadbiran Biden yang kononnya keputusan itu dibuat sebagai tujuan pertahanan adalah hanya dalih.

Sebelum ini, katanya, Pentadbiran Biden turut mengkritik dasar Trump dengan mengecam keras penjualan itu atas alasan Arab Saudi dan UAE memerangi Yaman yang meragut ratusan ribu nyawa orang awam.

Malah, Biden turut mendakwa akan mengakhiri semua sokongan Amerika untuk operasi ofensif dalam perang di Yaman, termasuk penjualan senjata yang relevan.

“Kami mengecam pelanggaran janji Biden dalam krisis kemanusiaan terbesar di Yaman dan beliau mesti menarik diri daripada perang Yaman, selain membantu proses membina semula negara itu.

Jabatan Negara AS pada Selasa lalu dalam satu kenyataan, mengumumkan pentadbiran Biden akan meluluskan penjualan pakej senjata bernilai $23.37 bilion (RM96.42 bilion) ke Abu Dhabi, selepas hampir selesai meninjau  penjualan senjata era Trump ke UAE dan Arab Saudi.

Pakej itu mengandungi 50 pesawat F-35 Lighting II hingga 18 Sistem Udara MQ-9B dan satu pakej peluru udara ke udara dan udara ke darat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.