Vaksin diguna negara mampu atasi varian UK, Afrika Selatan

31

16 APR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan bahawa vaksin COVID-19 yang digunakan di Malaysia sekarang mampu melindungi penerimanya daripada varian UK B.1.1.7 dan Afrika Selatan B.1.351.

Bagaimanapun, Adham Baba, berkata kementeriannya masih menunggu laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), keberkesanan vaksin terhadap dua varian berkenaan.

“Kita lihat vaksin yang diguna setakat ini masih mampu mengatasi dan memberi perlindungan kepada penerimanya dan kita juga masih menunggu laporan daripada WHO dan CDC terhadap kesan-kesan atau varian ini boleh menyebabkan vaksin ini tidak efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan Memorandum Persefahaman antara Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Pfizer Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Setakat semalam terdapat lima kes COVID-19 varian UK B.1.1.7, manakala 17 kes membabitkan varian Afrika Selatan B.1.351 dikesan.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, kuarantin 10 hari yang diwajibkan bagi pengembara yang tiba ke negara ini masih mampu mengesan kes positif daripada dua varian berkenaan.

Beliau berkata, tiga hari sebelum pengembara berkenaan berlepas ke negara ini, mereka perlu menjalani ujian swab COVID-19 dan keputusan berkenaan perlu disahkan oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini masih dapat mengesan kes positif, iaitu gejala hanya timbul pada hari ke-10,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.