Polis kesan penerbit, pelakon video judi raya

134

15 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengesan dan memanggil penerbit serta pelakon terbabit dalam penghasilan iklan judi raya yang kini tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu ekoran satu laporan polis dibuat Jabatan Siasat Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menyiasat video memaparkan iklan berkenaan.

“Pada 15 April 2021, PDRM mengesan sebuah video tular berdurasi dua minit satu saat yang mempromosikan perjudian secara dalam talian.

“Isi kandungan video ini didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, siasatan polis akan menjurus kepada penerbit dan pelakon yang terbabit dalam iklan berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan, malah pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dihubungi bagi membantu siasatan,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi atau menyebarkan kandungan video itu melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam.

Sejak semalam, tular sebuah iklan berbentuk video memaparkan watak seorang pemuda bersedih kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk pulang ke kampung.

Dalam paparan itu, dia kemudian duduk termenung memikirkan masalah dihadapi, sebelum tiba-tiba menerima sistem pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbitnya yang menawarkan aktiviti perjudian dengan habuan lumayan.

Tindakan syarikat judi berkenaan menghasilkan iklan terbabit, dikecam netizen kerana mengajak orang ramai berjudi secara dalam talian bagi meraih wang mudah untuk kegunaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pelakon video berkenaan yang mengenakan pakaian baju Melayu dan baju Kurung lengkap, selain berhijab juga disifatkan sebagai menghina agama Islam. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.