PKPD di 5 lokaliti di Sabah, Kelantan, Pahang

85

16 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di lima lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang selama 14 hari, bermula esok.

Lokaliti itu membabitkan Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau; Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, manakala Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang di Bentong, Pahang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) hingga kini, menjalankan sembilan ujian saringan COVID-19 di Taman Tawau Lama dan daripada jumlah itu, lima kes positif COVID-19 dilaporkan.

Katanya, di Kampung Batu Payung pula, sebanyak lapan kes didapati positif hasil daripada 12 ujian saringan dijalankan.

Beliau berkata, KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di kedua-dua lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021.

“PKPD ini bagi memastikan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dikawal untuk mengelakkan penularan jangkitan ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Ismail Sabri berkata, PKPD di satu lokaliti di Kelantan itu dilaksanakan kerana sehingga kini, sebanyak 31 kes positif COVID-19 direkodkan daripada 56 ujian saringan dilaksanakan KKM, malah disahkan berlaku penularan jangkitan di situ dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021.

“PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas semua penghuni terbabit dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang dilaksanakan selepas 420 ujian saringan dijalankan KKM sehingga kini, merekodkan 15 kes positif.

Pada masa sama, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu, selain masih terdapat 247 sampel ujian menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang berkuat kuasa 17 April sehingga 30 April 2021.

“PKPD adalah bagi memudahkan KKM mengawal pergerakan keluar masuk, sekali gus menyekat penularan COVID-19 di lokaliti itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 82 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang kesemuanya dikenakan kompaun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.