JAKIM seru jangan tularkan video judi raya

100

16 APRIL: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius dan menentang perbuatan menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menurut kenyataan dikeluarkannya hari ini, JAKIM menyokong usaha pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab berhubung perkara itu mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Hari ini, tular satu video mengandungi iklan judi sempena Hari Raya Aidilfitri yang menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat, terutama umat Islam.

“JAKIM memandang serius dan menentang keras perbuatan seumpama ini, sekiranya benar berlaku, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani Ramadan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, JAKIM menyeru seluruh masyarakat, terutama umat Islam agar tidak menularkan video terbabit kerana boleh memberikan kesan tidak baik.

“Umat Islam juga dinasihatkan agar tidak terbabit dalam apa jua aktiviti perjudian, termasuk membantu dalam mempromosikan perjudian yang jelas bertentangan hukum syarak,” katanya.

Sejak semalam, tular sebuah iklan berbentuk video memaparkan watak seorang pemuda bersedih kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk pulang ke kampung.

Dalam paparan itu, dia kemudian duduk termenung memikirkan masalah dihadapi, sebelum tiba-tiba menerima sistem pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbitnya yang menawarkan aktiviti perjudian dengan habuan lumayan.

Tindakan syarikat judi berkenaan menghasilkan iklan terbabit, dikecam netizen kerana mengajak orang ramai berjudi secara dalam talian bagi meraih wang mudah untuk kegunaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pelakon video berkenaan yang mengenakan pakaian baju Melayu dan baju Kurung lengkap, selain berhijab juga disifatkan sebagai menghina agama Islam. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.