BERSATU Klang buat laporan polis isu pengawal peribadi

48

15 APRIL: Perikatan Nasional (PN) Klang membuat laporan polis, hari ini susulan kes dua pengawal peribadi mendakwa dipukul majikan kerana berpuasa, baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat Ketua Penerangan Pemuda BERSATU (ARMADA) Klang, Muhammad Firdaus Khan Mohd Osman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, tengah hari ini.

Muhammad berkata, laporan polis itu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa membuat siasatan menyeluruh dan memberikan hukuman setimpal kepada majikan terbabit jika terbukti bersalah.

“Kami mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sendiri memantau siasatan dan memastikan pelaku menerima hukuman setimpal,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Komuniti PN di Klang selepas membuat laporan polis itu.

Turut hadir Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Klang, D Nallan dan Naib Ketua Bersekutu BERSATU Klang, Datuk Roger Tan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) secepat mungkin bagi menyatakan keperluan kes itu disiasat secara teliti dan segera.

Pada Selasa, dua pengawal keselamatan mendakwa majikan mereka yang bukan beragama Islam memarahi, menampar, memukul dan mengacukan pistol kepada mereka.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa diperlakukan begitu apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka melaksanakan ibadah terbabit atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Susulan itu, pihak polis menahan empat individu berusia 38 hingga 46 tahun yang disyaki terbabit dalam kes terbabit, sebelum Mahkamah Majistret Klang, semalam semalam mengeluarkan perintah reman kepada empat individu bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, kejadiam itu diharap tidak mencetuskan isu perkauman dalam kalangan rakyat kerana membabitkan segelintir individu.

“Ingin saya tekankan terlebih dahulu, bahawa kejadian ini bukanlah satu isu perkauman.

“Jadi saya menyeru kepada semua agar tidak menjadikannya sebagai isu perkauman,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.