Sri Lanka haramkan 11 pertubuhan Islam

34

15 APRIL: Sri Lanka semalam mengharamkan 11 pertubuhan Islam, termasuk kumpulan militan Daesh dan al-Qaeda.

Pengharaman itu dibuat seminggu sebelum menjelangnya ulang tahun kedua tragedi pengeboman ketika sambutan Hari Easter yang mengorbankan 279 nyawa.

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, berkata sesiapa yang mempunyai kaitan dengan semua kumpulan itu boleh dihukum penjara hingga 20 tahun jika didapati bersalah.

“Sebahagian daripada pertubuhan diharamkan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan yang melakukan pengeboman Hari Easter.

“Langkah berdasarkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) terbabit adalah usaha kerajaan yang dibuat dengan niat baik untuk memastikan kedamaian berterusan di negara ini,” katanya dalam makluman pewartaan.

Sebelum ini, penganut Roman Katolik mengancam berdemonstrasi di jalanan ketika ulang tahun tragedi kerana mendakwa kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.

Tujuh rakyat Sri Lanka yang melancarkan serangan di tiga gereja dan hotel pada April 2019, dilaporkan menyatakan ikrar janji setia kepada pemimpin Daesh ketika itu, Abu Bakar al-Baghdadi.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat memutuskan tidak menemui bukti boleh mengaitkan serangan itu dengan Daesh.

Dua pertubuhan tempatan dikaitkan dengan serangan itu sudah diharamkan pada 2019, namun pasukan siasatan presiden mengenai pengeboman itu mahu semua pertubuhan seumpamanya diharamkan.

Dalam serangan itu, kesemua tujuh pengebom turut maut, menyebabkan tiada suspek yang didakwa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.