Siasat terperinci kes pengawal peribadi puasa dipukul

81

15 APRIL: Tindakan tegas mesti diambil susulan kes dua pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa, semalam, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah berkata, beliau sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat kes itu secara terperinci.

“Kita kena ambil tindakan tegas kalau sesiapa melakukan perkara boleh menyebabkan ketidakpuasan, terutama semata-mata isu berpuasa.

“Isu orang puasa ini isu paling besar dalam negara kita, kita kena faham mereka (mangsa) orang Islam dan perlu berpuasa.

“Tindakan tegas akan diambil jika benar dakwaan ini berlaku seperti diuar-uarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Wacana Meja Bulat berhubung isu kalimah Allah di Putrajaya, hari ini.

Pada Selasa, dua pengawal keselamatan mendakwa majikan mereka yang bukan beragama Islam memarahi, menampar, memukul dan mengacukan pistol kepada mereka.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa diperlakukan begitu apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka melaksanakan ibadah terbabit atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.