Pukul pengawal peribadi: polis rampas 100 jongkong emas

324

15 APRIL: Tangkapan empat suspek berhubung insiden dua pengawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa semalam membongkar sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ serta judi haram kumpulan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah seorang suspek polis menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang Dollar Amerika Syarikat (AS) serta 100 jongkong emas seberat 1 kilogram setiap satu.

“Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

ARJUNAIDI

Turut dirampas adalah sepucuk pistol dengan 10 biji peluru, lima telefon bimbit dan rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Terdahulu, empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 43 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Klang untuk polis mendapatkan perintah reman pagi tadi.

“Seorang daripada suspek dikenakan reman tujuh hari manakala tiga lagi direman lima hari. Semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau. Bagi kes di Klang Selatan, polis menyiasat mengikut Seksyen 298, 307 dan 324 Kanun Keseksaan.

“Kita juga menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951,” katanya.

Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat secara mendalam mengenai sindiket berkenaan termasuk berapa lama kumpulan itu bergiat aktif. Polis juga meminta agar orang ramai bertenang serta tidak membesarkan isu ini termasuk mengaitkan dengan isu perkauman.

Semalam, tular di media sosial dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.