Polis tembak mati lelaki kulit hitam ditahan, bakal didakwa

54

15 APRIL: Pegawai polis, Kim Potter yang menembak mati lelaki kulit hitam, Daunte Wright, 20, di Minneapolis, Amerika Syarikat, selepas menyangka pistolnya adalah taser, ditahan semalam atas tuduhan membunuh tanpa niat.

Dia dijangka hadir di mahkamah hari ini bagi prosiding pra perbicaraan selepas dibebaskan dengan ikat jamin AS$100,000 (RM412,000).

Potter, seorang veteran polis wanita selama 26 tahun yang meletak jawatan selepas kematian Wright, berhadapan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Peguam keluarga Wright, Ben Crump bagaimanapun berkata walaupun pihaknya menghargai pendakwa raya daerah menuntut keadilan untuk Wright, tiada hukuman dapat mengembalikan lelaki itu.

Tegasnya, kejadian itu bukan kebetulan, tetapi penggunaan kekerasan disengajakan dan melanggar undang-undang.

“Kami akan terus memperjuangkan keadilan Wright, keluarganya dan untuk semua orang tertindas,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu itu, Potter terbabit mengarahkan Wright berhenti kerana melanggar peraturan jalan raya.

Ketika Potter dan rakannya mengetahui lelaki itu mempunyai waran tertunggak, mereka berusaha membawanya ke pusat tahanan.

Bagaimanapun, Wright kembali ke keretanya dan Potter melepaskan tembakan ke arah tempat duduk pemandu, menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.

Potter melepaskan tembakan ke arah Wright di keretanya dengan menyangka pistol digunakannya adalah taser gun (senjata renjat).

Sementara itu, Minneapolis diselubungi protes ganas setiap malam akibat kejadian itu dengan penunjuk perasaan mengadakan pertempuran kasar ke atas polis.

Polis anti rusuhan menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di luar balai polis di Brooklyn Center, iaitu lokasi tembakan.

Ketegangan kaum juga terus memuncak akibat kejadian menimpa Wright di bandar barat tengah AS yang kini sedang mendengar perbicaraan polis kulit putih dituduh membunuh lelaki kulit hitam, George Floyd, baru-baru ini sehingga menimbulkan gerakan nasional atas ketidakadilan kaum.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.