PCS jumpa Hajiji sampai pandangan hak rakyat Sabah

16

15 APRIL : Pertemuan dan perbincangan antara pimpinan tertinggi Parti Cinta Sabah (PCS) dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dianggap positif apabila kedua-dua pihak menyatakan persetujuan untuk mempertimbangkan cadangan yang diusulkan berkaitan Sabah.

Perbincangan dan pandangan PCS disampaikan melalui satu majlis kunjungan hormat oleh Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman bersama timbalannya, Datuk Seri Wilfred Bumburing, semalam.

Menerusi satu kenyataan media, PCS memaklumkan kunjungan hormat itu adalah bagi menyampaikan pandangan parti terhadap pelbagai isu berkaitan hak rakyat Sabah termasuk berhubung pengumuman Sabah sebagai wilayah baru-baru ini.

PCS memaklumkan pihaknya juga telah menyampaikan hasrat serta cadangan Ahli-ahli Majlis Tertinggi PCS berkaitan masa depan rakyat Sabah.

“Antara cadangan serta pandangan yang dibincangkan ialah berhubung kerjasama antara pelbagai pihak, penjelasan berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang lebih terperinci termasuklah keputusan terbaharu kerajaan mengumumkan Sabah sebagai sebuah wilayah dan hala tuju Sabah secara menyeluruh.

“Perbincangan ini adalah sebuah perbincangan positif dengan kedua-dua pihak menyatakan persetujuan untuk mempertimbangkan semua cadangan yang telah diusulkan serta dibincangkan ketika kunjungan hormat itu diadakan,” katanya, hari ini.

Sebelum mengakhiri kunjungan hormat itu, Anifah mengucapkan penghargaan kepada Hajiji kerana memberi ruang kepada PCS mengadakan perbincangan dengan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah dan kerajaan negeri. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.