COVID-19 varian South Africa: Kaji semula kelonggaran PKP

14

15 APRIL : Kajian semula perlu dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap beberapa kelonggaran diberi terutama kebenaran pelaksanaan bazar Ramadan selepas 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan yang dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 di negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, varian berkenaan dikenal pasti sebagai varian yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi dan sesetengah vaksin juga dilihat kurang efektif ke atas varian itu.

“Ini pandangan saya, kita patut mengkaji semula beberapa kelonggaran yang telah diberikan. Apabila varian ini tersebar, beberapa vaksin tidak efektif melawannya dan kadar penularan akan meningkat.

“Gelombang keempat akan lebih teruk berbanding gelombang ketiga. Kita tengok minggu lepas, kita telah hampir berjaya menurunkan gelombang ketiga (namun) beberapa hari lalu ia meningkat semula, saya amat bimbang kerana ini akan memberi kesan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Lebih membimbangkan, beliau menegaskan beberapa vaksin COVID-19 yang ada juga tidak efektif untuk melawan varian tersebut sekali gus memberi kesan kepada Program Imunisasi yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“MKN perlu berbincang semula sama ada untuk teruskan kelonggaran yang telah diberi. Semalam (Rabu) saya hantar gambar suasana bazar Ramadan di Kuala Lumpur kepada Perdana Menteri dan saya rasa banyak gambar bazar Ramadan yang tular di seluruh negara.

“Kita tak salahkan orang ramai sebab orang ramai memang nak pergi bazar Ramadan, tapi agak sukar untuk penjarakan sosial,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kerajaan Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Negeri Sembilan, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan MKN perlu mengambil perhatian yang serius berkenaan perkara itu.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 setakat semalam

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, analisis filogenetik serta hubung kait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama.

Menurut beliau, varian South African B.1.351 berkenaan terdapat dalam Kluster Jalan Lima di Daerah Hulu Langat dan Sepang Selangor (tiga kes); Kluster Kebun Baru, Kuala Langat, Selangor (sembilan kes); Kluster Teknologi Emas, Kuala Langat, Selangor (satu kes) dan saringan kontak rapat dengan satu kes.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.