Eksport getah asli meningkat 13.5 peratus pada Februari

49

15 APRIL: Eksport getah asli Malaysia pada Februari 2021 meningkat 13.5 peratus kepada 54,632 tan metrik berbanding 48,125 tan metrik pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli menyumbang 40.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2021 diikuti Belgium (12.6 peratus), Jerman (8.4 peratus), Finland (3.9 peratus) dan Amerika Syarikat (2.7 peratus).

Beliau berkata sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM5.8 billion pada Februari 2021, meningkat sebanyak 3.9 peratus berbanding RM5.6 bilion pada Januari 2021.

Amerika Syarikat mendahului sebagai negara pengimport tertinggi sarung tangan getah diikuti Jerman dan China, jelas beliau.

“Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 9.0 peratus pada Februari 2021 kepada 49,840 tan metrik berbanding 45,735 tan metrik pada bulan sebelumnya.

“Sebaliknya, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 0.1 peratus,” kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan mengenai perangkaan getah bulanan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, stok getah asli meningkat pada Februari 2021 kepada 286,117 tan metrik berbanding 280,841 tan metrik pada Januari 2021 dengan peningkatan 1.9 peratus.

Harga purata bagi lateks pekat merekodkan peningkatan kepada 587.91 sen sekilogram (kg) berbanding Januari 2021 (550.26 sen sekg) sementara Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) melonjak kepada 672.68 sen sekg berbanding 628.58 sen sekg.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Februari 2021 ialah 44,697 tan metrik, menyusut sebanyak 5.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Penggunaan getah asli dalam industri pembuatan sarung tangan getah terus mendahului dengan penggunaan sebanyak 34,764 tan metrik atau 77.8 peratus daripada jumlah penggunaan domestik pada Februari 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.