Zulkifli nafi salah guna dana, lawatan ditaja sepenuhnya

152

14 APRIL : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan lawatan kerjanya ke Arab Saudi yang bermula Jumaat lalu, ditaja sepenuhnya Liga Dunia Islam (MWL).

Berikutan itu Zulkifli menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau menyalahguna dana kerajaan ketika melakukan lawatan itu.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya, selepas tular video di laman media sosial berhubung delegasinya menaiki pesawat khas ketika lawatan itu.

“Saya menaiki penerbangan SAUDIA Airlines dari Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain, penerbangan daripada Riyadh ke Madinah seperti dalam video itu diuruskan sepenuhnya oleh MWL,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata beliau dijemput untuk ke Madinah dengan menaiki pesawat khas sejurus selepas Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud mengetahui bahawa beliau seorang Menteri berkelulusan Universiti Islam Madinah.

“Ini berikutan jemputan Diraja oleh Gabenor Madinah, Yang Mulia Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud kepada saya untuk bertemu baginda di Madinah,” katanya.

“Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang Menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah, datang ke Arab Saudi atas urusan negara. Atas sebab itulah jemputan diraja dizahirkan berserta dengan pesawat berkenaan… begitulah sebagaimana yang saya dimaklumkan,” katanya.

Dalam pada itu Zulkifli berpandangan bahawa tajaan lawatan itu adalah tanda penghormatan kerajaan Arab Saudi dan pihak MWL kepada kerajaan Malaysia.

MWL yang ditubuhkan pada 1962 adalah sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah, dibiayai sepenuhnya kerajaan Arab Saudi.

Lawatan yang bermula Jumaat lalu hingga 18 April ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam serta ibadah haji dan umrah sebagaimana yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) hasil kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.