Tindakan tegas sebar berita palsu Kelantan PKP

97

14 APRIL : Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu bahawa Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, berita tersebut sama sekali tidak benar.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penularan COVID-19 di negeri ini.

“PDRM Kelantan ingin menegaskan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan tegas akan diambil jika terdapat perlakuan dan kesalahan penyebaran maklumat palsu atau diragui kesahihannya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Kelantan kekal status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 28 April 2021 selepas arahan terkini dikeluarkan oleh kerajaan pada Isnin.

Negeri sama berstatus PKPB ialah Selangor; Johor; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang manakala PKPB Serawak berkuat kuasa sehingga 26 April 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.