Kualiti perkhidmatan kesihatan Serian terus dipertingkat

25

14 APRIL: Klinik Kesihatan Serian yang kini sedang dalam pembinaan akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di bandar itu apabila beroperasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Klinik Kesihatan Jenis 3 itu dijangka siap pada Jun 2022.

“Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan keupayaan Hospital Serian, termasuk menyediakan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kelengkapan, termasuk ventilator.

“Kelengkapan ini bukan sahaja untuk kes tertentu, malah persediaan kita menghadapi kes COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada lawatan kerjanya ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 Hospital Serian, Sarawak, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Mohd Syafiq Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Prof Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing dan Pengarah Hospital Serian, Dr Maria Mesran turut hadir.

Dr Adham berkata, pakar sedia ada di Hospital Serian juga akan ditambah bagi meningkatkan perkhidmatannya.

Pada masa sama, katanya, negara mempunyai strategi kesihatan awam, seperti dilaksanakan pada masa ini untuk menghadapi peningkatan jumlah kes COVID-19.

“Apa perlu kita lakukan adalah penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipertingkatkan.

“SOP sudah digariskan sebenarnya cukup kukuh untuk kita mengatasi COVID-19.

“Kita turut mempunyai pelan tindakan yang pantas untuk mengasingkan kes positif melalui keputusan ujian makmal bagi mengelakkan mereka berada dalam komuniti,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.