Zahid nafi tulis artikel amanat perancangan BERSATU

84

14 APRIL: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada menulis sebuah artikel kononnya beliau memberikan amanat kepada ahli parti dan akar umbi berhubung perancangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk terus berkuasa.

Ahmad Zahid berkata, artikel itu mengandungi kenyataan bahawa beliau diberikan pelbagai serangan, tindakan ahli parlimen melompat parti, penyalahgunaan kuasa, perpaduan ummah, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan beberapa perkara.

“Ingin saya menegaskan bahawa artikel itu tidak ditulis saya atau dengan kebenaran saya, tetapi dilakukan orang lain yang tidak diketahui individu berkenaan.

“Saya menyedari saban hari pelbagai fitnah dilakukan pihak tertentu bagi mengkucar-kacirkan situasi politik semasa serta memburuk-burukkan UMNO,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasmi hari ini.

Beliau berkata, pihak yang melakukan perkara itu diminta menghentikan segera perbuatan politik jahat.

Ahli Parlimen Badan Datok itu juga mengharapkan Ramadan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan amal ibadah, bukannya menabur fitnah serta mengamalkan politik tidak matang.

Katanya, beliau menyarankan semua pihak yang mahu mendapatkan kenyataan rasmi daripada beliau, boleh memperolehnya menerusi Facebook dan juga Telegram rasminya.

“Semoga semua daripada kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amal kebaikan. Salam Ramadan almubarak,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.