PIWN pastikan pengurusan wakaf negara lebih cekap

69

13 APRIL: Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang akan diwujudkan kerajaan mampu memastikan pengurusan wakaf lebih cekap di negara ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kewujudan PIWN juga mampu memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan.

Katanya, melalui PIWN juga, peranan wakaf dapat terus diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

“Ini juga diharap akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat, tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan.

“Jadinya, saya berharap pembabitan semua pihak sama ada masyarakat, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat dioptimumkan demi memperkasakan peranan wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” katanya ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 secara maya, hari ini.

Muhyiddin berkata, sokongan dan pembabitan masyarakat, sama ada secara individu atau organisasi amat diharapkan dalam memastikan wakaf berperanan sebagai satu daripada elemen penting membantu pembangunan ekonomi negara.

Empat perkara utama, katanya, digariskan untuk diberi perhatian tanpa menidakkan kedudukan Majlis Agama Islam Negeri yang bertindak sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri.

Perdana Menteri berkata, perkara pertama adalah meningkatkan tabungan dana wakaf bagi membolehkan lebih banyak aset wakaf diwujudkan.

Bagi keperluan itu, katanya, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan perlu merangka inisiatif untuk menggalakkan pegawai serta kakitangannya memberikan wakaf secara tunai, terutama secara berkala melalui potongan gaji.

“Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sudah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri melalui kod 4474.

“Begitu juga dengan institusi perbankan dan kewangan dalam membantu mempelbagaikan lagi platform berwakaf, termasuk institusi kewangan Islam yang seharusnya menjadikan wakaf sebagai elemen nilai tambah kepada produk serta perkhidmatan kewangan mereka,” katanya.

Perkara kedua, katanya, menjadikan pembangunan hartanah wakaf sebagai antara elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun Negara.

Jelasnya, GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan korporat, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri perlu mengenalpasti ruang serta peluang kerjasama boleh dijalinkan bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset wakaf.

“Ketiga, memperhebatkan lagi aktiviti pembudayaan dan sosialisasi wakaf ke arah mewujudkan masyarakat celik wakaf, justeru dalam perkara ini, JAWHAR serta YWM perlu bersama merangka pelan pembudayaan holistik, selain komprehensif, yang akan dilaksanakan di peringkat nasional dan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri.

“Jadinya, kita harap JAWHAR selaku jabatan di peringkat Persekutuan yang diiktiraf penubuhannya sejak 2004 akan terus meningkatkan hubungan baik dengan Majlis Agama Islam Negeri bagi memastikan pentadbiran harta wakaf, zakat dan urusan haji umat Islam menjadi lebih sistematik, cekap serta berkesan.

“Keempat, YWM, terutamanya perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya dapat benar-benar menjadi contoh teladan pentadbiran wakaf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap melalui peranan institusi berkaitan wakaf di Malaysia, negara boleh menawarkan kepakaran dan menjadi model amalan terbaik kepada negara Islam lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.