JAWI pantau umat Islam tidak hormat Ramadan

18

13 APRIL: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan, termasuk makan di tempat awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata operasi pemantauan dan penguatkuasaan itu akan dibuat pada bila-bila masa.

“Kerja pemantauan dan penguatkuasaan berjalan seperti biasa dan kita juga akan menjalankan operasi berdasarkan aduan diterima,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kembara Al- Amin di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, tindakan turut diambil terhadap premis perniagaan atau restoran yang menjual makanan kepada golongan itu pada waktu tidak dibenarkan.

Katanya, mereka akan dikenakan tindakan menurut Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1,000 atau dipenjarakan maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas berhubung Program Kembara Al-Amin, Ahmad Marzuk berkata program digital bermula hari ini hingga 12 Mei depan itu menampilkan 13 segmen berkonsepkan bual bicara, videografi, peraduan, doa dan zikir.

“Program Kembara Al-Amin ini siarkan menerusi media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“Di bawah program ini juga, JAKIM melancarkan Skuad Kembara Al-Amin yang akan turun padang menyantuni kumpulan asnaf, B40 dan barisan hadapan sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.