Denda lebih tinggi menanti pemburu Harimau Belang Malaya

50

13 APRIL : Denda lebih tinggi terhadap pemburu haram dan enam pelan kondusif membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan populasi Harimau Belang Malaya tidak pupus di negara ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelan bersama-sama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selain agensi dan pemain industri yang terlibat, diharapkan dapat menangani krisis kepupusan Harimau Malaya.

“Kita fokus dan serius dalam memastikan kepupusan itu tidak berlaku. Ini tindakan dan tanggungjawab bersama dalam menangani pemburuan haram habitat ini.

SHAMSUL ANUAR

“Kerana itu kita sedang meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) supaya kita lebih respons dalam perkembangan semasa dan usaha konservensi hidupan liar, di mana kita akan tingkatkan penalti dan denda kepada pesalah.

“Kita sedar ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang memperdagang hidupan liar di dalam talian. Jadi pindaan itu akan memperkukuhkan penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti haram tersebut,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali, menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) bagi menangani krisis kepupusan Harimau Malaya, serta meningkatkan reputasi dan imej industri sawit dalam aspek kemampanan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) semalam.

MoU itu melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), diwakili ketua pengarahnya Abdul Kadir Abu Hashim, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menerusi ketua pegawai eksekutifnya Wan Zawawi Wan Ismail, dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) diwakili ahli lembaga pemegang amanahnya Mohd Nor Hamzah.

Sebelum ini dilaporkan, Pengarah Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) Dr Kelvin Lazarus berkata, tindakan pembiakan pemuliharaan dan pembelajaran mengenai Harimau Belang Malaya diperlukan, bagi mengelakkan kepupusan populasi berkenaan di negara ini.

Dr Kelvin berkata, masalah penurunan populasi Harimau Belang Malaya akan berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekali gus Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya sekiranya tiada tindakan dilakukan.

Shamsul Anuar berkata, usaha kerajaan memerlukan penglibatan semua pihak untuk berganding bahu, dalam menggerakkan kesedaran berkaitan pemburuan haram spesies terancam seperti Harimau Malaya.

Mengulas mengenai pelan jangka masa pendek dan panjang untuk memulihara spesies Harimau Malaya, Shamsul Anuar berkata ia bertepatan dengan MoU hari ini yang antara lain melibatkan program pembiakan Harimau Malaya; program pembiayaan lima ekor anak Harimau Malaya; program pemindahan Harimau Malaya ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan di Lanchang, Pahang.

Ia juga melibatkan program meliarkan Harimau Malaya; program pelepasan Harimau Malaya ke habitat asal dan program pemantauan Harimau Malaya selepas proses pelepasan.

Shamsul Anuar menarik perhatian, MoU itu antara lain memperuntukkan dana sebanyak RM3 juta untuk tempoh lima tahun bagi konservasi Harimau Malaya hasil inisiatif MPOC dan MPOGCF, sekali gus menunjukkan komitmen padu dan keprihatinan industri sawit dalam menyelamatkan Harimau Malaya yang diancam kepupusan.

Dalam kenyataan media bersama kedua-dua kementerian itu menyebut, MoU ini bertujuan memperkukuhkan konservasi ex-situ (mengekalkan spesies di luar habitat asal seperti zoo dan taman botani) Harimau Malaya melalui penyelidikan, bina upaya serta program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.