14.56 juta rakyat Malaysia telah dibanci

12

13 APRIL: Kerajaan mengesahkan seramai 14.56 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) sehingga Jumaat lalu.

Ketua Perangkawan yang juga merupakan Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pihaknya menjangkakan bancian tersebut dapat diselesaikan di seluruh negara menjelang akhir Jun ini.

Menurut beliau, tempoh bancian yang bermula sejak Februari tahun lalu sudah mencapai hari ke-280 sehingga Isnin dan antara negeri yang mencatat bacaan tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 100 peratus, diikuti Johor 64 peratus dan Perak sebanyak 60 peratus.

“Bagi Kelantan pula sebanyak 59 peratus, Melaka dan Perlis masing-masing 56 peratus, Terengganu 53 peratus, Negeri Sembilan 51 peratus, Pulau Pinang 50 peratus, Kedah dan Selangor masing-masing 42 peratus, Kuala Lumpur 36.4 peratus, Pahang 34.1 peratus, Wilayah Persekutuan Labuan 31 peratus dan Sabah sebanyak 22 peratus,” katanya, hari ini.

Mohd Uzir memberitahu walaupun ada segelintir enggan memberi kerjasama kepada pembanci yang datang ke rumah, namun setelah pihaknya menjelaskan mengenai kepentingan banci tersebut dibuat, mereka lebih yakin memberikan maklumat.

“Berdasarkan pemerhatian pada Isnin, kita mendapati kebanyakan penduduk menyedari mengenai kepentingan banci dibuat yang bertujuan untuk pembangunan negara.

“Ia adalah contoh yang baik. Kita menggesa rakyat Malaysia untuk bekerjasama dengan memberikan maklumat diperlukan dan membantu untuk perancangan negara dengan lebih baik,” katanya.

Mohd Uzir berkata, selain mengisi bancian secara dalam talian (online) melalui e-Census, bancian juga dibuat secara temu bual bersemuka dengan bantuan gajet (CAPI), temu bual bersemuka menggunakan borang (PAPI), temu bual melalui panggilan telefon (CATI) dan pengambilan borang soal selidik (DOPU).

“Kita masih menggunakan e-Census dan lawatan temu bual rumah ke rumah dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita memerlukan komitmen daripada penghuni yang belum dibanci untuk memberikan kerjasama dan memutuskan sama ada mereka ingin ditemu bual secara bersemuka (PAPI atau CAPI) atau engin maklumat bancian online,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pembanci yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dari rumah ke rumah perlu membuat bancian sebanyak 10 hingga 12 buah rumah sehari, dengan purata sekitar 45 minit sesi temu bual di sebuah rumah.

“Halangan untuk pembanci di kawasan luar bandar adalah dari segi perjalanan untuk sampai ke lokasi penduduk. Mereka perlu menaiki kereta atau bot dan tinggal di sana selama beberapa hari untuk menyelesaikan bancian.

“Di kawasan bandar pula, pembanci sukar memasuki kawasan kondominium yang mempunyai sistem palang automatik dan susah untuk diakses orang luar.

“Kami berurusan dengan pihak Datuk Bandar, pengurusan bangunan dan ketua komuniti untuk mendapatkan akses masuk ke kawasan tersebut bagi memudahkan proses bancian dibuat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan bancian juga turut dijalankan kepada 410,000 warga asing dan bukan warganegara di seluruh negara serta notis akan diserahkan kepada majikan untuk memaklumkan perkara ini.

Beliau mengesahkan pihaknya turut mengadakan perjumpaan bersama duta-duta luar negara bagi menjelaskan mengenai pelaksanaan bancian di Malaysia

Get real time updates directly on you device, subscribe now.