Walau tidak mudah, PAS tetap usaha satukan UMNO-BERSATU

19

12 APRIL : Tidak mudah buat PAS untuk menyatukan Melayu dan Islam di bawah penyatuan ummah, malah ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi daripada pendukung parti.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, agenda tersebut tetap dilaungkan walaupun parti itu terus mendapat kecaman kerana hubungan bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut beliau, peranan PAS hari ini sangat besar bagi memastikan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berulang kembali di negara ini.

AHMAD

“PAS dalam Perikatan Nasional (PN) mempunyai hikmah, memudahkan kita untuk menjaga kemaslahatan rakyat, jadi kerajaan sekarang perlu dipertahankan demi penyatuan ummah.

“Jadi pandai-pandailah kita memainkan peranan masing-masing yang menunjukkan kita sebagai seorang referee dalam padang, penonton marah dan pemain pun marah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada retreat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat di sebuah hotel di Kota Bahru, Kelantan, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, PRU-15 akan diadakan dengan kaedah penyampaian maklumat yang berbeza selepas negara dilanda dengan penularan wabak COVID-19.

Justeru, beliau yang juga merupaka Menteri Besar Kelantan menyeru semua lajnah dalam PAS Pusat dan kawasan untuk memperkasakan lagi media massa atas talian dan sidang video untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

“Kita mesti gunakan penerangan dalam hadapi PRU15 nanti, normal masyarakat sudah berubah terutamanya selepas wabak Covid-19, atas talian dan sidang video menjadi keutamaan kita.

“Kerana suasana telah menukar corak ini, jadi harapan saya kepada anak muda boleh melakukan langkah baru, bagaimana untuk menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad meminta agat ahli PAS peringkat akar umbi berperanan sebagai pendamai dalam konflik antara UMNO dan BERSATU.

Beliau berkata, ahli PAS tidak seharusnya turut serta dalam pertelagahan tersebut sehingga mewujudkan bibit perpecahan dalam kalangan pendukung parti yang menjadi teras Melayu dan Islam itu.

“Jadi sebarang tindakan yang diambil selepas ini perlu mengambil pendekatan untuk mendamaikan dan mententeramkan kalau UMNO dan BERSATU tidak boleh duduk bersama.

“Maka banyak program kita pun kena sesuaikan antara kedua-duanya, maka jangan sesekali sampai mengambil pendekatan yang boleh mencederakan hubungan kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.