Terus amal SOP ketika sambut Ramadan – KKM

10

12 APR : Kementerian Kesihatan menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya tidak lupa mengamalkan norma baharu walaupun dalam kemeriahan menyambut bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara, tahun ini masyarakat berpeluang untuk mengunjungi bazar Ramadan namun beberapa negeri telah memutuskan untuk mengambil langkah lebih berjaga-jaga memandangkan jumlah kes harian COVID-19 masih tidak stabil di beberapa negeri.

Sehubungan itu, KKM ingin menyeru kepada masyarakat agar tidak leka dan mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan COVID-19 daripada aktiviti sosial seperti kunjung-mengunjungi ke rumah rakan-rakan dan sanak saudara; perjalanan rentas negeri; atau menghadiri perhimpunan besar-besaran.

“KKM ingin menasihatkan agar semua individu untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

“Ini termasuk keluar dari rumah tanpa ada keperluan yang penting, menghadiri perhimpunan atau keraian berbuka puasa secara besar-besaran, dan bersesak-sesak di bazar Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM khuatir aktiviti-aktiviti yang tidak terkawal seperti ini akan mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti.

Beliau berkata KKM juga ingin mengingatkan  masyarakat agar mengamalkan empat kunci keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang disediakan untuk ahli keluarga yang tersayang adalah bersih dan selamat:

1.        Gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih;

2.        Gunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada makanan yang telah dimasak;

3.        Masak makanan dengan sempurna dan pastikan ianya dimakan dalam tempoh tidak melebihi dari empat (4) jam; dan

4.        Simpan makanan pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga (3) hari di dalam peti sejuk.

Disamping itu juga, KKM berharap agar masyarakat sentiasa mengambil makanan yang sihat dan seimbang pada setiap masa dengan mengamalkan konsep 3M iaitu:

1.        Masak di rumah jika boleh. Ini dapat membantu mengawal penggunaan minyak, gula, dan garam berlebihan dalam makanan;

2.        Makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan; dan

3.        Minum air kosong sekurang-kurangnya lapan (8) gelas sehari serta elakkan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi seperti minuman berkarbonat.

Masyarakat dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti masjid dan surau (7 April 2021) dan SOP Sektor Makanan Bazar Aidilfitri dan Bazar Ramadhan (29 Mac 2021) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Kerjasama daripada semua lapisan masyarakat amatlah diperlukan agar negara dapat melandaikan keluk pandemik COVID-19 ini.

“KKM juga ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menjalankan ibadah Ramadhan kepada semua rakyat Malaysia. Semoga Ramadhan pada tahun ini dapat dijalani dengan penuh kesabaran, keikhlasan, ketakwaan, dan mendapat keberkatan,” katanya.


Get real time updates directly on you device, subscribe now.