Malaysia-Liga Dunia Islam Perkukuh Kerjasama Tangani Terorisme

27

11 APRIL : Liga Dunia Islam (MWL) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam menangani isu terorisme

Setiausaha Agungnya, Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa berkata, kerjasama itu akan tertumpu kepada perkongsian kepakaran deradikalisasi dan memerangi ancaman pemikiran terorisme.

Menurut beliau, kumpulan pengganas sering memburukkan imej agama Islam dan mengancam keselamatan Islam dan penganutnya.

“MWL dan Malaysia menerusi pejabat Menteri Hal Ehwal Agamanya akan meneruskan kerjasama memerangi golongan ini bagi memastikan imej Islam dapat dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas pertemuan empat mata dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabat MWL di, Riyadh, semalam. 

Terdahulu, Zulkifli kini berada di Arab Saudi untuk lawatan kerja bermula Jumaat lepas hingga 18 April ini atas jemputan MWL.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, mereka turut berbincang tentang kerjasama hal ehwal Islam yang menumpukan pelbagai aspek termasuk dakwah serta saling bertukar pandangan dan pengalaman di antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Al-Issa turut memuji Malaysia dalam menguruskan keharmonian agama dan pelbagai etnik serta melihat ia mampu menjadi contoh kepada negara lain.

“Malaysia dikagumi dan layak menjadi model negara yang mengamalkan wasatiyah persefahaman antara negara dan meraikan kepelbagaian agama yang membentuk masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

MWL yang ditubuhkan pada 1962 merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah, berperanan memperjelaskan mesej sebenar Islam dengan nilai-nilai kesederhanaan, keamanan dan toleransi.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu kerjasama dengan MWL selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kunjungannya ke Arab Saudi pada Mac lalu. 

“Saya lihat hubungan Malaysia dan WML sudah begitu lama, hampir setiap tahun kita hantar para mufti, pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan tokoh ulama untuk menyertai muktamar yang dianjurkan mereka.

“Apa yang saya lihat dalam pertemuan ini ialah satu bentuk kerjasama yang mungkin dapat kita lakukan dengan lebih tersusun terutama bantuan kepada mereka yang memerlukan, selain dakwah dan manhaj wasatiyah,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.