Lapan lagi kematian,1,739 kes baharu dikesan hari ini

23

10 APRIL : Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 1,739 kes baharu positif dan lapan lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya 360,856 kes di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah berkenaan 343,953 kes atau 95.3 peratus sudah sembuh dan 15,574 kes masih aktif termasuk 183 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 81 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata daripada 1,739 kes baharu dilaporkan hari ini lapan adalah kes import dan 1,731 kes tempatan termasuk 1,343 warganegara dan 388 bukan warganegara.

“Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 535kes (30.8 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 441 kes (82.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 443 kes (25.5 peratus)dan Sabah sebanyak 127 kes (7.3 peratus).

“Sebanyak 56 kes (3.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas (44 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), dan Kluster Tembok Tapah (3 kes).

“Terdapat lapan (8) kes kematian pada hari ini yang melibatkan empat (4) kes di Selangor, dua (2) kes di WP Kuala Lumpur, dan masing-masing satu (1) kes di Sabah dan Johor. Kesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Berikutan itu, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

Orang ramai juga sentiasa diingatkan supaya mengamalkan 3W iaitu (Amalkan Wash, Wear dan Warn) dan patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.