COVID-19:Kes Naik mendadak,rakyat Sarawak dirayu patuh SOP

61

9 APRIL : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, merayu penduduk Sarawak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negeri terbabit.

Uggah menegaskan tindakan itu perlu berikutan keadaan dilihat semakin membimbangkan kerana tahap kepatuhan SOP yang semakin menurun.

Justeru, beliau berharap agar penduduk Sarawak bertanggungjawab mematuhi setiap arahan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Berikutan kes yang dilaporkan hari ini yang tertinggi pernah direkodkan, anggaplah ini sebagai amaran kepada kita.

“Selagi tidak mematuhi SOP, selagi itulah kes di Sarawak semakin meningkat,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 negeri, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, orang ramai perlu menyedari peningkatan kes jangkitan akan membawa implikasi besar kepada Sarawak keseluruhannya.

“Jika keadaan ini berterusan, kita tidak dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Kekal mematuhi SOP yang dikeluarkan, jangan leka memakai pelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal diamalkan,” katanya.

Sarawak mencatat angka tertinggi jangkitan harian dengan 555 kes hari ini.

Daripada jumlah itu, Sibu mencatat 115 kes, Bintulu (112), Miri (70), Kapit (61), Meradong (57), Mukah (46), Kuching (29), Sarikei (12), Beluru (lapan), Subis (lapan), Sri Aman (tujuh), Julau (tujuh), Asajaya (empat), Samarahan (tiga), Saratok (tiga), Selangau (dua), Bukit Mabong (dua), Tatau (dua), Belaga (satu), Betong (satu), Song (satu), Limbang (satu), Bau (satu), Serian (satu) dan Sebauh (satu), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 19,262 kes sejak kes pertama dikesan pada Mac tahun lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.