TNB Realisasikan Impian 17 Asnaf Miliki Rumah Sendiri

15

8 APRIL: Sejumlah RM850,000 diperuntukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi merealisasikan impian buat 17 asnaf di Perlis memiliki rumah kediaman sendiri menerusi Program Baiti Jannati. 

Program Tanggungjawab Sosial Korporat TNB itu turut dilaksana dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) bagi memenuhi impian asnaf terpilih itu.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejumlah RM850,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek itu sekaligus memenuhi impian asnaf yang terpilih.

“Projek ini merupakan satu program Tanggungjawab Korporat TNB yang bertujuan untuk berkongsi 

kemakmuran bersama rakyat yang kurang bernasib baik supaya berpeluang menikmati kesejahteraan hidup. 

“TNB sangat prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan bantuan dan keperluan hidup terutama rumah kediaman yang lebih selesa untuk didiami agar kehidupan mereka bertambah baik dan selamat. 

“Semoga dengan bantuan daripada TNB ini memenuhi impian mereka untuk memiliki rumah sendiri, ” katanya menerusi satu kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, Majlis penyerahan kunci rumah Baiti Jannati TNB disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar, Perlis, hari ini.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pengurusan Tinggi Tenaga Nasional Berhad. 

Pada majlis tersebut, dua orang asnaf turut menerima bantuan di bawah Projek Mesra Rakyat, (PMR), yang dipilih melalui kerjasama pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) dalam mengenalpasti mereka yang layak dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00.

Sebelum itu, Mahdzir turut menyampaikan wang zakat perniagaan TNB negeri Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis turut disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.