Reezal Merican sokong percepat pemilihan UMNO

59

8 APRIL: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menegaskan desakan supaya  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO, tidak akan menyelesaikan kemelut dalaman parti.

Berikutan itu, Reezal yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah kemelut dalam UMNO adalah dengan mempercepatkan tarikh pemilihan pucuk pimpinan supaya amalan demokrasi subur dalam parti.

“Mana-mana individu tidak berhak meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan kecuali ia dibuat melalui pemilihan UMNO sendiri.

“Jika dulu presiden diberi mandat secara demokratik maka biarlah proses demokrasi juga yang menjadi penentu pemilihan sama ada kekal atau ada pemilihan lain. Justeru, saya berpandangan saya pemilihan parti dilihat satu jalan keluar yang cukup demokratik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan yang meminta Presiden UMNO meletakkan jawatan susulan rakaman audio perbualan di antara Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar sejak semalam.

Sebelum ini media melaporkan Pemuda UMNO Pontian terus menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dan berehat daripada dunia politik ‘secara terhormat’ bagi memberi laluan kepada kepimpinan muka baharu menentukan hala tuju parti itu.

Ketuanya, Mohd Helmi Buang, berkata Ahmad Zahid perlu menerima hakikat bahawa majoriti kepimpinan tertinggi parti kelihatan tidak menghormati beliau seperti senario yang berlaku selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Keadaan itu, katanya, terbukti menerusi usul penggulungan Ahmad Zahid menggesa semua pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan, tetapi tidak dituruti mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.