PKPD taman perumahan di Pekan mulai tengah malam ini

49

8 APRIL : Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga  kawasan taman Perumahan dan satu perkampungan di daerah Pekan, Pahang bermula tengah malam ini. 

Taman perumahan yang terlibat adalah Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana dan Taman Sepekan Makmur manakala bagi kampung pula ialah Kampung Pulau Serai dan Perkampungan Peramu Jaya 3. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi kes COVID-19 iaitu Kluster Teknologi Peramu Jaya di daerah Pekan, Pahang melibatkan pekerja kilang yang tinggal di kelima-lima lokaliti berkenaan. 

Menurut beliau, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 495 ujian saringan dan 
daripada jumlah itu, sebanyak 67 kes positif COVID-19  dari kluster itu. 

“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. 

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam  Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD bermula esok sehingga 22 April 2021 di kelima-lima lokaliti tersebut.

“Ini bagi memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya menerusi laporan perkembangan COVID-19, hari ini. 

Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 64 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP) 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 59 individu dikompaun manakala lima orang pula direman. 

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (32), tidak memakai pelitup muka (19), gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (10) dan tiada penjarakan fizikal (3),” katanya. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 167,299 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 74 hotel dan lapan institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 650 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Seramai 7,493 individu telah dikuarantin dan 158,504 orang dibenarkan pulang manakala 1,302 lagi dibawa ke hospital, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.