Noh Omar serah kepada polis siasat rakaman audio

55

8 APR: Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, menyerahkan kepada polis untuk menyiasat audio rakaman yang sedang tular di laman sosial yang didakwa mirip Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Noh juga menyifatkan tindakan Ahmad Zahid yang mengeluarkan kenyataan dan membuat laporan polis bagi menafikan perkara itu sebagai tepat.

“Dalam zaman teknologi masa ini, macam-macam perkara boleh berlaku.

“Bagi saya, biar pihak berkuasa jalankan siasatan dengan syarat laporan polis mestilah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Frozen Food di Pusat Masakan KEMAS Sungai Gulang-Gulang, di sini, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata UMNO Selangor juga akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sama ada audio rakaman itu benar atau tidak.

“Kita tunggu apa hasil siasatannya nanti,” katanya.

Semalam, tular di laman sosial rakaman audio didakwa mirip Ahmad Zahid dan Anwar yang merujuk kepada ucapan Presiden UMNO itu dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Ahmad Zahid dan Anwar juga dilaporkan akan membuat laporan polis bagi menafikan mereka adalah individu yang didakwa dalam rakaman audio berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.