Malaysia sumbang vaksin kepada Bosnia Herzegovina

19

8 APRIL: Demi nilai kemanusiaan dan hubungan baik terjalin, Malaysia akan menyumbangkan 50,000 dos vaksin COVID-19 kepada Bosnia Herzegovina berikutan kesukaran negara itu mendapatkan bekalannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof, berkata sumbangan itu tidak akan menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana negara memiliki bekalan vaksin mencukupi untuk kegunaan rakyat.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam dan Kementerian Luar akan mengambil tindakan susulan bagi merealisasikan penghantaran sumbangan itu.

“Ada negara dapat (vaksin) dan ada negara tidak dapat dan negara itu merayu kepada kita supaya memberikan sumbangan untuk membantunya.

“Kita beri kerana kita mengimbangi antara nyawa dengan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat isu semasa Pengurusan COVID-19 dan Proklamasi Darurat anjuran Jabatan Penerangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim.

Mohd Redzuan berkata, selain Bosnia Herzegovina, Malaysia turut menerima permintaan dari negara Eropah Timur yang sukar mendapatkan bekalan vaksin.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan jenis vaksin yang bakal disumbangkan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.