Kerajaan Teliti Semula keputusan Guna Vaksin AstraZeneca

40

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan memutuskan semula sama ada Malaysia akan terus menggunakan vaksin AstraZeneca dalam portfolio vaksin bagi penduduk negara ini. 

Keputusan ini dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin susulan kesimpulan oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA) berhubung kes pembekuan darah yang dilaporkan selepas penggunaan vaksin AstraZeneca harus disenaraikan sebagai kesan sampingan vaksin yang mungkin berlaku.

“Kita mengambil maklum pengumuman EMA mengenai vaksin AstraZeneca. JKJAV akan mempertimbangkan perkara itu. JKJAV akan memutuskan sama ada kita akan terus menggunakan AstraZeneca dalam portfolio vaksin kita. Keselamatan adalah perkara utama,” katanya menerusi ciapan Twitter miliknya, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa keselamatan EMA (PRAC) membuat kesimpulan bahawa pembekuan darah luar biasa dengan platelet darah rendah harus disenaraikan sebagai kesan sampingan Vaxzevria (dahulunya vaksin COVID-19 AstraZeneca) yang sangat jarang berlaku.

Menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman webnya, EMA menyatakan, jawatankuasa itu mempertimbangkan semua bukti yang ada ketika ini, termasuk nasihat daripada kumpulan pakar sebelum membuat kesimpulan itu.

EMA mengingatkan profesional penjagaan kesihatan dan mereka yang menerima vaksin itu untuk kekal berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya kes pembekuan darah berserta platlet darah rendah yang sangat jarang berlaku dalam tempoh dua minggu selepas penerimaan vaksin.

Jawatankuasa tersebut turut mengesahkan kebanyakan kes dilaporkan berlaku setakat ini membabitkan wanita berusia bawah 60 tahun dalam masa dua minggu selepas vaksinasi dan berdasarkan bukti sehingga kini, faktor risiko khusus belum dapat disahkan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.