Axiata yakin cadangan penggabungan Celcom-Digi akan dilulus

86

8 APRIL: Axiata Group Bhd dan Telenor Asia, syarikat induk Digi.com Bhd  cukup yakin cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd and Digi akan mendapat kelulusan.  

Syarikat itu berkata, kelulusan tersebut termasuklah daripada badan kawal selia serta pemegang saham Celcom dan Digi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Datuk Izzaddin Idris berkata sentimen itu disokong oleh penglibatan beliau sendiri dan naib presiden eksekutif dan ketua Telenor Asia Jorgen C. Arentz Rostrup dalam rundingan penggabungan yang sedang berlangsung sekarang.

“Ia adalah mandat atau tanggungungjawab yang diberikan oleh pemegang saham kedua-dua syarikat kepada kami.

“Ia juga merupakan mandat bagi kami untuk memastikan penggabungan dapat berjalan dengan lancar dan efektif, dan memastikan kami tidak kehilangan bahagian pasaran kami, tetapi dalam masa yang sama meraih bahagian pasaran,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini.   

Axiata dan Telenor Asia mencadangkan penggabungan Celcom dan Digi untuk menjadi sebuah syarikaat yang dikenali sebagai Celcom Digi Bhd (MergeCo).

Meskipun menekankan mengambil iktibar daripada kegagalan rundingan penggabungan pada 2019,  Izzaddin yang enggan menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara itu berkata, kali ini Axiata lebih menumpukan kepada penggabungan perniagaan dan urus niaga di Malaysia.

“Banyak halangan yang kami tidak boleh lepasi pada masa itu, tetapi daripada perspektif kami, ini (penggabungan sekarang) lebih menumpukan kepada urus niaga kerana ia melibatkan konsolidasi di Malaysia,” katanya.  

Beliau berkata, Digital Nasional Bhd, syarikat tujuan khas yang akan melancarkan rangkaian 5G negara telah mengadakan libat urus dengan syarikat telekomunikasi termasuk Axiata dan Digi untuk membincangkan mengenai cabaran dan apa yang perlu dilakukan bagi pelancaran rangkaian 5G.

“Kami sentiasa menyokong inisiatif kerajaan terutamanya dalam pelancaran 5G bagi memastikan negara dan pengguna mendapat manfaat daripada program itu,” katanya.  

Izzaddin juga menegaskan bahawa tidak akan ada pemberhentian pekerja secara paksa sekiranya cadangan penggabungan itu menjadi kenyataan.  

“Kami tidak merancang melakukan pembuangan pekerja kerana kami telah membincangkan perkara ini sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Mengenai kemungkinan penggabungan perniagaan Axiata dan Telenor di Bangladesh, beliau berkata mustahil untuk melakukannya kerana ia melanggar akta anti-persaingan.

Sementara itu Rostrup dalam taklimat media yang sama berkata Telenor tidak begitu bimbang tidak mempunyai pegangan besar dalam cadangan penggabungan itu kerana syarikat tersebut melihat perkongsian ini sebagai perlu bagi menangani peningkatan konteks yang semakin kompleks dalam industri telekomunikasi.  

“5G bukan lagi hanya semata-mata tentang kesalinghubungan tetapi suatu yang lebih besar dan kompleks dengan beberapa elemen seperti pendigitalan, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) yang berlaku pada masa yang sama…dan ini adalah masa yang sesuai bagi kami untuk turut terlibat sama,” katanya.  

Rostrup juga menegaskan Telenor tidak akan keluar dari Malaysia walaupun selepas penggabungan berlaku, malahan sebaliknya syarikat itu akan menumpukan lebih banyak usaha dan tenaganya di Malaysia.   

“Kami sangat berdedikasi kepada Malaysia dan Asia, secara amnya,” katanya.  

Bagaimanapun, kedua-dua Axiata dan Telenor enggan mendedahkan penilaian MergeCo kerana janji niaga itu masih di peringkat awal.  

Axiata dalam satu kenyataan hari ini berkata sebagai sebahagian daripada urus niaga penggabungan itu, syarikat tersebut akan menerima saham yang baru diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1 peratus pemegangan saham pasca urus niaga dan amaun penyamaan tunai kira-kira RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion adalah daripada Digi sebagai hutang baharu manakala baki RM300 juta daripada Telenor.

Axiata, bersama dengan dana-dana institusi Malaysia akan memiliki lebih 51 peratus pegangan dalam MergeCo.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.