1,285 kes baharu COVID-19, Selangor kembali tertinggi

34

8 APRIL: Kementerian Kesihatan mengesahkan 1,285 kes baharu positif COVID-19 dan empat kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes penularan wabak berkenaan ialah 355,753 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

Beliau berkata kes baharu sembuh hari ini adalah p 1,175, menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 340,242 kes.

NOOR HISHAM

“Terdapat pertambahan sebanyak empat kes kematian baharu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 1,308 kes.

“Kesemua kes kematian hari ini melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham mengesahkan 186 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 81 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 374 kes (29.1 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 292 kes (78.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 211 kes (16.4 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 162 kes (12.6 peratus),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 105 kes (8.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Antaranya ialah Kluster Penjara Jalan Harapan (89 kes), Kluster Tembok Sri Aman (6 kes), Kluster Pagar Bukit Chagar (4 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes), Kluster Tembok Mempaga (1 kes), dan Kluster Tembok Tapah (1 kes).

Katanya sebanyak empat kluster dilaporkan hari ini membabitkan negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Senarai empat kluster baharu hari ini:

• KLUSTER JALAN TAMING

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling dan Hulu Langat di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 31 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Taming 11, Taman Taming Jaya, Seri Kembangan, Petaling. Sehingga 8 April 2021, sejumlah 19 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

• KLUSTER INDUSTRI PARIT RAJA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Batu Pahat di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 8 April 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Parit Raja, Batu Pahat. Sehingga 8 April 2021, sejumlah 456 individu telah disaring, di mana 38 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

• KLUSTER PERUSAHAAN PERAI TIGA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara,  dan Timur Laut di Pulau Pinang. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 3 April 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Perusahaan Baru, Kawasan Perusahaan Perai 3, Seberang Perai Tengah. Sehingga 8 April 2021, sejumlah 205 individu telah disaring, di mana 66 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

• KLUSTER PADANG MANGGIS

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Pekan dan Kuantan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-347953) dilaporkan positif COVID-19 pada 2 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Kampung Padang Manggis, Pekan. Sehingga 8 April 2021, sejumlah 67 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.