Zahid akan buat laporan polis berhubung rakaman audio

107

7 APRIL : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya terdapat  perbualan antara beliau dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana dalam audio rakaman yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Malah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)  menegaskan, tiada sebarang perbualan antara beliau dan Ketua Pembangkang tersebut selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. 

Menurut beliau, ini merupakan satu percaturan politik jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO. 

“Saya amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, sebagai Presiden UMNO, beliau tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi sebarang ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga mahu Zahid membuat laporan polis untuk membersihkan dirinya daripada sebarang fitnah dan tomahan mengenai perkara tersebut. 

“Untuk memastikan kebenaran dan kesahihan dalam perkara ini, perlu serah kepada pihak polis untuk membuat siasatan berkaitan video tular itu kerana mereka mempunyai kepakaran untuk pastikan perkara ini benar atau tidak. 

“Kalau (Zahid) tidak membuat laporan atau tidak dibuat penjelasan, maka ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi akan terus bercelaru tentang perkara sebenar dan kedudukan sebenar di kalangan peringkat kepimpinan tertinggi UMNO. 

“Video dan gambar (fitnah) selalu berlaku di kalangan kepimpinan tertinggi. Kerana itu penting untuk membuat penjelasan dan laporan polis jika berlaku fitnah dan tomahan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.