Sindiket keluarkan 21,378 PLKS palsu kepada pekerja asing

30

7 APRIL : Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud hari ini mendedahkan lebih 21,378 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu telah dikeluarkan kepada pekerja asing oleh pihak sindiket haram.

Khairul Dzaimee berkata perkara berkenaan terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  menumpaskan sindiket PLKS palsu dengan penahanan lima individu termasuk seorang berpangkat Datuk menerusi operasi besar-besaran semalam.

“Setakat ini berdasar maklumat yang kita perolehi sebanyak 21,378 pekerja asing mempunyai  PLKS palsu dan tangkapan  akan dilakukan dari masa ke semasa

“Kita akan cari semua lebih 21,000 pemegang PLKS ini berdasarkan operasi dibuat oleh semua Jabatan Imigresen seluruh negara. Operasi sedang giat dijalankan mencari dan menahan mereka ini, dan operasi sebegini sudah mula dijalankan sejak tahun lepas lagi,” katanya ketika sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata pihaknya bukan sahaja memburu pekerja asing diburu sebaliknya majikan terlibat bersekongkol juga akan didakwa di mahkamah.

Beliau berkakat ,sektor paling ramai memiliki PLKS  palsu babitkan perkhidmatan, perkilangan dan perladangan.

“Antara warga negara asing terlibat Bangladesh, Indinesia dan Pakistan,” ujarnya.

Sementara itu Azam mendedahkan seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen terlibat menggerakkan sindiket PLKS palsu.

“Dalam siasatan kami mereka menggunakan router untuk menggodam ID sistem pegawai imigresen dan mencetak PLKS ini diluar daripada Jabatan Imigresen.

“Dalam sindiket ini juga adalah bekas kakitangan Jabatan Imigresen yang telah berhenti kerja dan mereka yang disyaki memberi jalan bagaimana sindiket ini dilakukan.

“Mereka yang ditahan ini telah direman mulai hari ini selama enam hari,” kata Azam.

Semalam SPRM dan Jabatan Imigresen berjaya mematahkan sindiket pengeluaran Pas PLKS palsu tumpas menerusi operasi besar-besaran.

Operasi itu  merungkai kegiatan sindiket itu yang telah menyebabkan ketirisan puluhan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Semua individu berkenaan ditahan dalam operasi di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi itu dibuat berpandukan kepada siasatan dalam mulai tahun lalu.

Berdasarkan serbuan itu, SPRM mendapati 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat telah dibekukan dengan jumlah rampasan RM9.9 juta.

“Jumlah ini akan bertambah sekiranya apabila pihak bank selesai mentafsir baki akhir selepas proses pembekuan dibuat,” kata Azam.

Dalam perkambangan sama, Khairul percaya sindiket ini turut melibatkan orang dalam agensi berkenaan.

“Setakat ini masih belum ada pegawai imigresen yang ditahan. Tetapi saya percaya ada penglibatan pihak dalaman dan bergantung kepada siasatan SPRM.

“Sekiranya ada tangkapan di kalangan pegawai imigresen sendiri, kami tidak ada kompromi daripada pihak jabatan. Kerjasama sepenuhnya untuk mencari di mana pegawai-pegawai ini berada akan diberikan kepada pihak SPRM,” katanya

Dalam operasi itu juga sejumlah wang tunai RM491,110 dan lain-lain mata wang, 12 buah kenderaan mewah bernilai lebih RM300,000 sebuah, dan 34 unit jam tangan mewah pelbagai jenama.

Jumlah sitaan bagi kes ini adalah berjumlah RM25.5 juta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.