Nazri desak Zahid lepaskan jawatan Presiden

87

7 APRIL: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesa agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan demi kelangsungan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamed Nazri menegaskan ini perlu dilakukan kerana Ahmad Zahid dilihat tidak lagi mempunyai kreadibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, Zahid perlu memberi laluan kepada orang lain untuk memimpin parti kerana imejnya sudah tercalar dengan tuduhan-tuduhan di mahkamah.

“Zahid perlu berundur segera. Soal siapa akan ganti bukan masalah kerana kita ikut sahaja hierarki parti. Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai orang nombor dua boleh ambil alih kepimpinan.

“Kalau ada warlords yang tidak setuju, itu adalah masalah mereka kerana bagi saya, perkara yang betul untuk dibuat adalah mengikut hierarki kerana itu diputuskan oleh akar umbi semasa pemilihan parti.

“Saya yakin Mohamad Hasan mampu ketuai UMNO dan saya harap beliau boleh lakukan perubahan dalam parti,” katanya, hari ini. 

Dalam pada itu, Nazri yang juga Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas memberitahu apa yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC minggu lalu merupakan bukti jelas kepimpinan Zahid tidak lagi dihormati oleh parti komponen BN.

“Komponen BN nampaknya tidak menghormati beliau (Zahid). Lihat sahaja AGM MIC hujung minggu lalu, sekiranya presiden UMNO dan Pengerusi BN dihormati dan disegani, parti komponen tidak akan mengundang orang luar untuk merasmikan.

“Ini memalukan. Ini juga jelas bahawa Zahid tidak ada kreadibiliti sebagai presiden UMNO dan Pengerusi BN,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah membuat gesaan agar Zahid berundur demi mastikan kelangsungan UMNO agar terus relevan dalam landskap politik tanah air.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.