Kerajaan PN komited harungi fasa pemulihan bersama rakyat

7

7 APRIL: Perdana Menteri, berharap seluruh rakyat Malaysia dapat bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengharungi fasa pemulihan akibat wabak pandemik COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun jangkitan COVID-19 di Malaysia telah mula menunjukan trend penurunan, situasinya masih belum stabil.

“Kita telah bersama-sama berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, dan harapan saya agar kita akan terus bersama mengharungi fasa pemulihan akibat wabak ini dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Insya-Allah seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kerajaan PN komited dengan usaha untuk pastikan seluruh rakyat Malaysia dan kumpulan bukan warganegara yang menetap di negara ini mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang terbaik supaya dapat meneruskan kehidupan yang sempurna.

“Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri dan berusaha mengamalkan gaya hidup yang sihat melalui pemakanan atau diet yang seimbang serta melakukan aktiviti riadah dengan lebih kerap,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Sedunia, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan syabas kepada seluruh petugas barisan hadapan kesihatan atas usaha dan kerja keras tanpa jemu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.

“Hari ini 7 April 2021 merupakan Hari Kesihatan Sedunia, menandakan sambutan ulangtahun penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang ditubuhkan secara rasmi pada 7 April 1948.

“Pada tahun ini, sekali lagi Hari Kesihatan Sedunia disambut dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih lagi melanda bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata sehingga awal bulan April 2021, lebih 130 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti virus COVID-19 dan mencatatkan lebih 2.85 juta kematian.

“Di Malaysia pula, sebanyak 353,329 kes jangkitan COVID-19 telah direkodkan sehingga 6 April 2021 dengan 1,300 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.