Kemuka tuntutan palsu, SPRM tahan pegawai logistik TLDM

64

7 APRIL : Seorang pegawai kanan bahagian logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 10 pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek bersubahat dan memperakukan pesanan kerajaan seterusnya mengemukakan tuntutan palsu.

“Ia berkaitan perkhidmatan mencetak beg kertas dan perkhidmatan mencetak kain rentang kepada Markas KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM Tanjung Pengelih Mukim Pengerang, Kota Tinggi, yang berjumlah RM24,250 sedangkan pembekalan berkenaan tidak pernah dibuat,” menurut kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.