Bincang elok-elok jika tidak puas hati tentang parti-Musa

28

7 APRIL : Kesepakatan dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi UMNO amat penting untuk memastikan kemaslahatan dalam parti itu terjaga. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Musa Sheikh Fadzir  berkata, ini kerana kekuatan dan kekukuhan UMNO adalah berpunca daripada pegangan oleh akar umbi yang sentiasa menjadi pendokong kepada perjuangan parti.

“Kita duduk sama-sama bincang, kita ini sebagai satu keluarga dalam UMNO tapi apabila pelbagai pandangan terbuka yang dilemparkan, orang nampak macam kita berpecah. Padahal kita tidak lemah, kita kuat,” katanya, hari ini. 

Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang memberitahu sebarang ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara khususnya terhadap kepimpinan tertinggi haruslah mengikut lunas demokrasi sedia ada.

“Kalau kita tidak puas hati dengan presiden duduk bincang elok-elok mengapa kita mesti buat kenyataan-kenyataan yang memburukkan lagi UMNO.

“Sampai pemilihan parti lawanlah. Hendak lawan jadi presiden ke timbalan presiden atau apa jawatan, dalam parti demokrasi, lawanlah tetapi sekarang ini kena fikirlah hendak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya. 

Sementara itu, beliau menegaskan sikap terburu-buru dalam memberikan pandangan akan memberikan imej yang tidak baik kepada parti.

Tambahnya, apa sahaja keputusan yang dilakukan semasa Perhimpunan Agung UMNO itu, kita kena bincang balik dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jadi MKT kena buat keputusan sebab mandat telah diberi kepada presiden dan MKT jadi kita boleh bincang yang terbaiklah.

“Tapi kita janganlah melatah terburu-buru perkara ini kalau kita bercakap bagi macam-macam pandangan dia akan jadi satu masalah kepada parti,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.